
Seorang lelaki yang sedang belayar mengalami musibah kapal karam dan terdampar di sebuah pulau. Setiap hari dia berdoa dan minta Tuhan hantarkan orang untuk menyelamatkan. Namun tidak ada yang datang. Lelaki itu sangat kecewa.
Setelah beberapa bulan berlalu, lelaki itu belajar bagaimana untuk survive di pulau itu. Dia mengumpulkan barang-barang yang ditemuinya di pulau itu dan menyimpannya di dalam pondok yang dibinanya.
Suatu hari setelah balik dari berburu makanan dan kembali ke pondoknya, dia sangat kecewa melihat pondok dan semua barang yang dikumpulkannya sedang terbakar dan menjadi asap tebal berkepul-kepul.
Lelaki itu terduduk dan menangis dengan kuat. Dia mulai menjerit-jerit dan marah kepada Tuhan. “Tuhan, Kenapa Kau sanggup biarkan ini terjadi?! Berbulan lamanya saya berdoa untuk orang datang menyelamatkan saya tapi tidak ada seorang pun yang datang. Dan sekarang semua yang saya ada sudah terbakar. Kenapa?!”
Dia duduk dan menangis lagi. Tiba-tiba dari jauh dia melihat ada sebuah kapal datang menuju ke arah pulau yang sedang dia duduki. Akhirnya lelaki itu diselamatkan dan kembali ke kota. Lelaki itu bertanya kepada kapten kapal, bagaimana dia boleh datang ke pulau itu. Kapten itu menjawab, ketika mereka sedang belayar, mereka melihat ada kepulan asap tebal naik ke udara. Lalu mereka mengambil keputusan untuk memeriksa tempat itu dan menemui dia.
Dalam kehidupan, kita akan menghadapi banyak tantangan, masalah dan hal-hal yang buruk. Tapi apa yang buruk itu, Tuhan boleh ubahkan menjadi baik. Kadangkala malapetaka itulah yang menjadi berkat. Kita hanya perlu belajar bertenang dan percaya bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan kita.
Pertolongan Tuhan Kadangkala tidak terlalu cepat tapi tidak pernah terlambat. Percaya saja. TUHAN itu dekat kepada orang-orang yang patah hati, dan Ia menyelamatkan orang-orang yang remuk jiwanya.